Hidup Mengikut Kemampuan Anda

Seperti di SakuPenuh.com
Artikel oleh Fadhliyansah Hj Saipul

Penulis Jemputan Sakupenuh.com
Orang kaya akan kekal dengan kekayaan mereka, kerana mereka hidup dibawah kemampuan mereka. Jika mereka mampu memandu sebuah kereta BMW 5 series, mereka hanya memandu Toyota Camry.
Orang sederhana akan kekal sederhana, kerana mereka hidup ala-ala orang kaya.
Jika mereka mampu memandu sebuah kereta Proton Persona, mereka akan memandu Honda Civic.
Jangan tepuk dada tanya selera, tapi ikutlah kemampuan dan eloklah jika kita berbelanja dibawah kemampuan agar tidak kesempitan kelak.
Berikut adalah 5 cara mudah untuk hidup mengikut kemampuan.
1. Tetapkan matlamat – Nak beli rumah? Beli kereta? Beli emas? Bila? Berapa harga?
Dalam melakukan apa saja, kita perlu ada matlamat dan ianya mestilah jelas dan boleh dicapai.
Tanpa matlamat, kita tidak akan mampu melihat hala tuju kehidupan.
Jika kita mempunyai matlamat kewangan, kita akan lebih berhati-hati dalam berbelanja dan menyusun atur strategi kewangan.
Demi mencapai matlamat itu, tidaklah kita dengan semudah-mudahnya membelanjakan wang kepada perkara yang tidak perlu.
Contohnya, Asmaa, 25 tahun. Merancang untuk membeli sebuah rumah yang berharga RM300,000 pada usia 27 tahun. Oleh itu, dengan mengenalpasti segala syarat dan kos untuk membeli sebuah rumah bernilai RM300,000 Asmaa perlulah menyediakan sejumlah wang tunai sebanyak 15% (RM45,000) daripada harga rumah tersebut bagi menampung kos bayaran muka 10% dan 5% duti setem dan yuran guaman.
Oleh itu, setiap bulan selama dua tahun Asmaa perlu menabung sebanyak RM1875.00.
Gaji bersih sebanyak RM3000 setiap bulan, Asmaa mula menyimpan sebanyak RM2000 dan hanya membelanjakan RM1000 sahaja setiap bulan.
Selepas 24 bulan, Asmaa telah mempunyai wang tunai sebanyak RM48,000.
2. Tetapkan peraturan – Ketahui kemahuan & kehendak
Kadang kala, dalam usaha untuk mencapai matlamat kita sering diuji. Diuji dengan pelbagai perkara yang boleh membuatkan kita lemah dan mengalah.
Dalam mencapai matlamat kewangan, pastinya ujian yang bakal kita terima adalah ujian untuk membelanjakan wang yang ingin atau yang telah disimpan.
Oleh itu, adalah penting sesorang itu untuk mengetahui sama sesuatu yang bakal dibeli adalah satu keperluan atau kehendak.
Secara cara untuk mengetahui perkara tersebut adalah satu keperluan atau kehendak adalah dengan bertanyakan soalan-soalan berikut kepada diri anda:
i.         Mengapa saya memerlukannya?
ii.       Perlu sekarang atau tidak?
iii.      Penting atau tidak?
iv.     Jika tidak beli apa kesannya?
v.       Jika beli apa kesannya?
vi.     Berapa wang yang saya anggup bayar?

Jika pembelian tersebut hanyalah untuk memenuhi kehendak hidup (seperti orang ada kereta, anda pun perlu ada kereta, orang pergi luar Negara, anda pun perlu pergi luar Negara) adalah baik jika anda tidak meneruskan pembelian tersebut dan teruskan menyimpan.
3.       Pantau dan kurangkan – Leceh tapi berkesan!
Cuba tanya diri anda, adakah anda tahu berapa banyak wang yang telah anda belanjakan untuk menampung kos pengankutan seharian? Kemungkinan tidak semua tahu berapa jumlah sebenar yang dibelanjakan.
Oleh itu, dengan memantau keluar masuk dan perbelanjaan harian, anda akan dapat mengawal perjalanan kewangan anda. Caranya sangat mudah.
 i.       Sediakan sebuah buku catatan – Jadikan ia sebagai buku rekod perbelanjaan harian.
ii.     Pantau perbelanjaan – Senaraikan keperluan mengikut keutamaan dan elakkan membeli barangan yang kurang penting.
Dengan itu, anda boleh mengenalpasti rentak dan gaya perbelanjaan serta dimana punca utama yang menyebabkan wang anda sentiasa habis setiap bulan.
Selepas kenalpasti, cuba elakkan atau cuba kurangkan berbelanja bagi perkara tersebut. Pasti anda akan mampu menyimpan lebih banyak!
4.       Buat bajet – Jika anda gagal merancang, maka anda merancang untuk gagal!
Mempunyai bajet perbelanjaan bulanan merupakan satu cara untuk memastikan kita tidak berbelanja lebih. 
Bajet juga diperlukan untuk anda mengetahui dan menilai kekuatan dan kelemahan kewangan anda.
Utamakan yang perlu sahaja.
(Pelajari cara membuat bajet di SakuPenuh.com)
 5.       Gunakan teknik sampul – Bayar secara tunai, belanja ikut bajet.
Dengan adanya bajet perbelanjaan bulanan, anda boleh menggunakan teknik ini. Jika tiada bajet, sila buat secepat mungkin.
Teknik ini sangat mudah, jika anda telah meletakkan bajet sebanyak RM300 untuk menampung kos pengangkutan anda setiap bulan, maka keluarkanlah jumlah tersebut dan letakkan didalam sampul yang dinamakan sebagai kenderaan.
Wang tersebut hanya boleh digunakan untuk menampung kos pengangkutan sahaja! Jika ada lebihan, adalah lebih baik jika anda dapat menyimpannya. Sedikit sebanyak teknik ini boleh membantu anda untuk berdisiplin dalam berbelanja.
Tinggalkan kad bank dan bawa sampul sahaja.
(Pelajari teknik sampul di SakuPenuh.com)
Ingat! Boros hari ini, kecundang di masa hadapan! Semoga bermanfaat dan selamat mencuba!
FS.

Powered by Blogger.