KESILAPAN KEWANGAN YANG SERING DILAKUKAN




Seperti yang published di sakupenuh.com
 
Manusia mempelajari sesuatu perkara melalui dua cara. Melalui Hard way atau Soft way.

Hard way adalah melalui sesuatu kejadian atau perkara yang sudah berlaku.

Tarmizi berhenti memandu laju selepas terlibat dalam satu kemalangan jalanraya yang hampir menggugat nyawanya.

Soft way pula merupakan cara dimana seseorang menginsafi diri dari melakukan sesuatu di atas kesedaran sendiri atau setelah melihat orang lain yang ditimpa kejadian.

Namun apa jua cara, kita haruslah ingat kata pepatah Melayu, menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tidak berguna. Sama juga dengan kewangan, jangan sampai sudah terhantuk baru terngadah!

Ramai orang tak sedar bahawa banyak kesilapan yang telah dilakukan dalam menguruskan kewangan peribadi masing-masing. Bila diselidiki, berikut merupakan beberapa perkara yang TIDAK dilakukan orang yang berjaya dalam menguruskan kewangan peribadi mereka:

1.       Belanja dulu simpan kemudian

Apabila kita menerima gaji perkara pertama yang perlu dilakukan adalah dengan membayar diri sendiri iaitu dengan mengasingkan 10% daripada pendapatan bersih untuk disimpan. Jika disimpan secara konsisten selama 12 bulan, simpanan ini adalah bersamaan dengan jumlah sebulan gaji anda. Jika anda mengamalkan sikap sebegini, pastinya anda tidak akan mempunyai simpanan.

Formula Simpan dulu belanja kemudian:

Gaji – Simpan = Belanja

2.       Buat keputusan ikut hati – tanpa buat kira-kira dan stress test

Tepuk dada tanya selera adalah pepatah yang tidak boleh pakai dalam pengurusan kewangan sebab bila kita tanya selera, mana ada orang selera tak besar. Semua besar. Semua terdorong oleh nafsu.

Oleh itu, jika nak beli sesuatu yang melibatkan ansuran khasnya atau buat keputusan kewangan, lihatlah pada bajet anda. Buat kira-kira atas kertas. Ketahui berapa banyak jumlah wang yang anda boleh keluarkan untuk membayar komitmen yang baru. Jika sudah kenalpasti, kemudian cuba hilangkan wang tersebut dari pandangan anda selama paling kurang 3 bulan sebelum membuat pembelian.

Jika dengan menghilangkan sejumlah wang dari akaun tidak memberi kesan kepada kehidupan seharian anda dan tidak membebankan anda, maka anda layak untuk meneruskan perancangan tersebut.

Sentiasa ingat, bahawa untuk membuat keputusan melibatkan kewangan, sila letak emosi jauh-jauh dan buat kira-kira dengan teliti.

3.       Tak belajar dari pengalaman

Semua orang tahu jika kita boros berbelanja kita boleh menjerumuskan diri ke dalam dunia berhutang. Tapi ramai yang tak sedar dan masih suka berbelanja melebihi kemampuan.

Orang kaya tak berhutang untuk gembira. Mereka berhutang untuk membina wang.

4.       Simpan duit, tapi tak kembangkan duit

Kalau nak kaya, jangan hanya simpan wang. Tapi kembangkanlah wang. Laburkan wang anda. Jangan hanya simpan di satu akaun. Ya, jumlahnya akan bertambah tetapi tidak seperti yang disimpankan di tempat-tempat yang memberi pulangan. Pastikan jika anda ingin melabur, melaburlah di tempat yang halal.

5.       Tidak terima nasihat

Orang yang bijak bukanlah orang yang hanya dengar kepada kata-katanya sendiri. Itu namanya orang keras kepala. Dalam menguruskan kewangan, kita perlu mendapatkan pandangan orang yang lebih pakar dan lebih memahami konsep kewangan itu sendiri. Sebelum anda terjebak dengan pelaburan, skim-skim dan mendapat nasihat kewangan yang tidak betul, ada baiknya anda rujuk pada orang-orang yang lebih faham tentangnya.

6.       Gaya mutu keunggulan

Dari dahulu sampai sekarang, trend tak pernah habis. Nak kahwin kena macam ni, kena macam tu. Nak beli kereta kena kereta import, nak berpakaian kenalah sama macam artis.

Ini adalah kesilapan yang nyata dan telah masuk didalam darah daging dan pemikiran masyarakat kita. Biar papa asal bergaya. Biar berhutang asal nampak senang. Elakkan diri dari mementingan kemewahan. Apa yang perlu kita dahulukan dan biarlah dalam kesederhanaan. Berkahwin, membeli kereta, rumah, pakaian, gadget dan lain-lain.

Tepuk poket tanya jumlah.

7.       Suka membanding

Tengok orang beli kereta baru, anda pun nak beli kereta baru. Orang pergi melancong anda pun nak pergi melancong. Sikap sebegini boleh dikategorikan sebagai sikap yang tidak ada pendirian. Semua nak ikut dan banding dengan orang. Ukurlah baju dibadan sendiri. Jika sehari kita mampu makan dengan perbelanjaan RM10, kenapa perlu ikut orang yang sekali makan sahaja dah RM50. Cuba jadi diri sendiri. Tak salah bersederhana.

8.       Buat hutang untuk hutang

Orang kaya banyak hutang. Orang tak kaya pun banyak hutang. Tapi orang kaya berhutang kerana membina kekayaan. Orang tak kaya berhutang kerana nak tunjuk konon mempunyai kekayaan.

9.       Belanja dulu bayar kemudian

“Encik, sudah ada kad kredit? Daftar percuma saja.”

“Eh, tak apa lah. Saya tak nak pakai kad kredit.”

“Jangan risau encik, tak pakai tak ada caj. Lagipun, encik boleh dapat point & diskaun kalau pakai. Boleh jadi back-up bila ada kecemasan..”

“Back-up untuk kecemasan? Ini nama dia JERAT kehancuran!”

10.   Nak kaya cepat

Siapa tak mahu jadi kaya. Semua orang mahu kaya. Mahu hidup senang dan wang bukanlah menjadi masalah. Tapi siapa tahu bukan senang mahu menjadi senang. Tiada magis dan belum pernah dalam sejarah orang malas menjadi kaya raya. Semua perlukan usaha. Mindset mahu cepat kaya tanpa usaha yang setimpal bakal menjadi masalah kepada diri kerana, orang sebegini mudah dihasut, diperdaya skim cepat kaya dan akhirnya mereka pun menjadi orang kaya. Kaya menaggung hutang.

11.   Tiada perlindungan

Mahu menunggang motorsikal perlulah memakai topi keledar untuk perlindungan. Begitu juga dalam kehidupan. Pastikan diri anda mempunyai perlindungan insurans atau takaful. Supaya apabila berlaku sesuatu keluarga, anak dan isteri boleh mendapat hak mereka dan apabila anda mendapat panggilan dari agen insurans, janganlah dipermainkan mereka, cuba terangkan kepada mereka baik-baik jika anda sudah mempunyai insurans dan jika belum cuba dengar apa kata mereka.

Insurans dan takaful mungkin tidak dapat menjamin masa depan yang cerah untuk anda, tetapi sekurang-kurangnya perlindungan dan bantuan yang diperlukan anda dan keluarga dijamin ketika anda memerlukannya.

12.   Tidak bersedekah

Nak kaya, tapi tak memberi. Dalam Al Quran ada banyak janji Allah tentang balasan orang yang memberi sedekah. Kenapa kita tidak bersedekah?

Kerana – “Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma), dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut); sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripadaNya serta kelebihan kurniaNya. Dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmatNya, lagi sentiasa Meliputi PengetahuanNya.” – Al-Baqarah 2:268

Tak perlu tunggu umur mencecah 40 baru nak sedar dari mimpi-mimpi dan tidur lena. Sedarkan diri anda sekarang, dapatkan khidmat nasihat dan hadiri kelas-kelas yang dianjurkan.

Jihad bijak kewangan!

FS.



Artikel oleh Fadhliyansah Hj Saipul
Penulis Jemputan Sakupenuh.com
Powered by Blogger.